Daisypath Anniversary tickers

Tuesday 24 April 2012

Air Ketuban : Tidak boleh LEBIH atau KURANG?



Sepanjang sembilan bulan janin berada di dalam rahim ibunya, cecair yang dikenali sebagai air ketuban mengelilinginya sekali gus melindungi janin dari sebarang tekanan.

Ia juga melindunginya dari dijangkiti infeksi, memberi makanan kepada bayi dan membantu perkembangan sistem paru-paru serta pencernaan selain menjaga suhu tubuh bayi sentiasa hangat. Cecair ini jugalah yang membuatkan janin bebas bergerak selama berada di dalam rahim.

Cecair ini berwarna keruh dan ia mula mengisi kantung ketuban sekitar dua minggu selepas persenyawaan. Pada permulaannya ia hanyalah air namun selepas 12 minggu barulah ia dipenuhi dengan karbohidrat dan protein.

Sepanjang perkembangan bayi, cecair itu turut meningkat dengan kadar yang maksimum. Pada minggu ke 30 kehamilan, biasanya wanita hamil akan membawa hampir dua liter air ketuban.

Sepanjang tempoh kehamilan itulah, bayi akan menelan air ketuban dan akan mengeluarkannya kembali sebagai urin. Air ketuban ini jugalah yang akan dihirup oleh bayi untuk membantu perkembangan paru-parunya.

Oleh kerana ia mengandungi sel-sel janin, air ketuban ini boleh dijadikan sebagai sampel untuk mengetahui keadaan perubatan janin iaitu sama ada kemungkinan menghadapi n sindrom.

Prosedur pemeriksaan air ketuban ini dinamakan sebagai amniosentesis. Keadaan terlalu banyak atau sedikit air ketuban boleh menjadi tanda berlakunya masalah pada janin atau plasenta (uri).

Masalah Air Ketuban Berlebihan
Masalah kekurangan air ketuban ini dinamakan Oligohidramnion manakala berlebihan pula dinamakan Polihidramnion atau Hidramnion. Ia boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada kehamilan.

Kadar air ketuban berubah seiring dengan usia kehamilan. Pada minggu ke-33, jumlah air ketuban adalah sekitar 1 hingga 1.5 liter dan mulai berkurangan sehingga kandungan mencecah 40 minggu. Bagi kes hidramnion, jumlah air ketuban boleh mencecah sehingga 3 ke 5 liter yang berlaku pada minggu ke-22 kehamilan atau sekitar lima bulan.

Air ketuban berlebihan ini boleh mengakibatkan peregangan rahim sekali gus menggalakkan berlakunya kontraksi sebelum waktunya, menekan diafragma ibu sehingga mengganggu pernafasan, tekanan darah tinggi, bersalin secara pembedahan atau kelahiran pramatang, kedudukan janin menjadi tidak normal, komplikasi sewaktu bersalin seperti pendarahan, komplikasi uri lepas atau janin meninggal dalam kan dungan.

Keadaan air ketuban berlebihan boleh ditandai dengan kandungan membesar dengan pantas, lingkaran perut dan tinggi rahim bertambah dengan cepat. Pada kes-kes Hidramnion ekstrem, perut akan membesar sehingga dinding perut kelihatan nipis dan pembuluh darah di bawah kulit terlihat dengan jelas. Ia juga boleh dilihat pada lapisan kulit yang pecah sehingga menampakkan kesan rekahan yang jelas pada permukaan perut.

Wanita hamil juga mengalami sesak nafas dan masalah pernafasan yang tersekat-sekat, pertambahan berat badan yang berlebihan dan tubuh membengkak. Begitu juga dengan suara denyutan janin kedengaran jauh kerana kedudukannya menjadi jauh dari permukaan.

Masalah Kekurangan Air Ketuban
Manakala wanita hamil yang mempunyai masalah kekurangan air ketuban boleh mengganggu pertumbuhan pada janin. Ia berlaku disebabkan kelainan ginjal pada janin sehingga pemprosesan urin menjadi sedikit.

Padahal urin termasuk sebagai sumber utama air ketuban. Hamil pada usia pertengahan juga boleh menyebabkan fungsi uri menurun. Penyakit ibu seperti darah tinggi, kencing manis, gangguan pembekuan darah dan penyakit lupus juga boleh menjadi punca air ketuban menjadi sedikit.

Wanita yang berhadapan dengan masalah ini terutama pada trimester pertama berisiko untuk janinnya mengalami kecacatan. Jika dialami pada trimester kedua, ia akan mengganggu perkembangan janin.

Jika berlaku di saat kelahiran, ia boleh menyebabkan komplikasi sewaktu kelahiran. Misalnya kontraksi rahim tidak berlaku dengan berkesan akibat tekanan pada rahim yang tidak seragam. Proses bersalin juga menjadi lebih panjang.

Punca Hidramnion
• Penghasilan air kencing janin berlebihan.
• Ada kelainan pada janin yang menyebabkan cecair ketuban berkumpul. Misalnya hidrosefalus, atresia saluran cerna, kelainan pada ginjal dan saluran kencing kongenital.
• Berlaku sumbatan pada saluran pencernaan pada janin sehingga ia tidak mampu menelan air ketuban.
• Kehamilan kembar kerana ada dua janin yang menghasilkan air kencing.
• Berlaku jangkitan kuman.
• Pertumbuhan terbantut pada sistem saraf pusat sehingga menyebabkan fungsi menelan tidak dapat berjalan lancar.
• Wanita hamil menderita kencing manis yang tidak terkawal.
• Rhesus yang tidak sepadan.

Sumber : pama.karangkraf.com

No comments: