Daisypath Anniversary tickers

Saturday, 14 April 2012

Ucapan and situasi



1 – Perkataan SUBHANALLAH

Ertinya ialah : ” MAHA SUCILAH ALLAH “

Ianya diucapkan tatkala kita melihat sesuatu perkara yang menggembirakan kita ataupun perkara-perkara yang hebat lagi ajaib . Contohnya tatkala kita melihat orang yang tidak cedera walaupun terlibat di dalam kemalangan . Tujuan kita mengucapkan “ SUBHANALLAH “ iaitu seolah-olah kita mendidik diri kita : “ Wah ! hebatnya orang itu , tak cedera langsung . Tapi Allah lebih Maha Hebat kerana itu semua tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah Ta’ala “ .

Ianya diucapkan juga apabila kita melihat ada apa-apa perkataan ataupun perbuatan yang menyebabkan seseorang itu syirik kepada Allah. Contohnya kita ucapkan SUBHANALLAH apabila melihat ada orang yang menyembah berhala-berhala . Di dalam hati kita ketika itu seolah-olah kita berkata : “ Allah Ta’ala Maha Suci dan tiada kena-mengena langsung sebagai Tuhan yang mereka anggap itu “ . Lihatlah firman Allah Ta’ala berikut : Ertinya : “ Dialah Allah yang tidak ada sama sekali Tuhan yang layak disembah kecuali Dia Yang Maha Berkuasa , Maha Suci , Maha Selamat , Maha Memberi Keamanan , Maha Peneguh , Maha Mulia , Maha Gagah-Perkasa , Maha Besar , Maha Sucilah Allah daripada apa yang mereka sekutukan “ ~ Surah al-Hasyr : ayat 23

Lihat penggunaan “ SUBHANALLAH “ ataupun yang semakna dengannya melalui ayat Al-Quranul Karim di bawah ini :

Ertinya : “ Maha Sucilah Tuhan yang telah memperjalankan hamba-Nya di waktu malam ( Israk ) dari Masjid al-Haram ( di Mekkah al-Mukarramah ) ke Masjid al-Aqsa ( di Palestin ) yang telah Kami berkati sekitarnya , agar Kami menunjukkan kepadanya ( Nabi Muhammad s.a.w ) beberapa tanda kekuasaan Kami . Sesungguhnya Dia ( Allah ) adalah Tuhan Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat “ . ~ Surah al-Israk , ayat 1 .

Peristiwa Israk-Mikraj adalah satu peristiwa yang ajaib lagi hebat , namun sehebat-hebat peristiwa itu , lebih hebat lagi Tuhan yang telah mengatur dan mencipta peristiwa itu , Tuhan itulah Allah Ta’ala Yang Maha Hebat , Yang Maha Mendengar segala doa Nabi-Nya s.a.w dan tohmahan puak-puak yang tidak mempercayai kisah itu dan Maha Melihat segala-galanya . Dan Maha Sucilah Allah drp segala sifat-sifat yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada Dia .

Ucapan “ SUBHANALLAH “ ini juga dikenali sebagai “ TASBIH “ .


2 – Ucapan “ ALHAMDULILLAH “

Ertinya : “ Segala puja-puji hanyalah untuk Allah “ ataupun “ Segala syukur dan terima kasih hanyalah untuk Allah “ .

Ianya diucapkan sebagai puja-pujian dan bersyukur di atas segala ni'mat yang Allah Ta’ala berikan kepada kita .

Contoh ayat Al-Quranul Karim yang menerangkan hal ini ialah :

Ertinya : “Dan Kami cabut segala macam dendam yang berada di dalam dada mereka; mengalir di bawah mereka sungai-sungai dan mereka berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah menunjuki kami kepada (surga) ini. Dan kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk kalau Allah tidak memberi kami petunjuk. Sesungguhnya telah datang rasul-rasul Tuhan kami, membawa kebenaran." Dan diserukan kepada mereka: "ltulah surga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan " ~ Surah al-‘Aaraf , ayat 43 .

Ayat di atas menerangkan ni'mat yang diperolehi oleh orang-orang yang beriman kelak di hari akhirat iaitu ni'mat mendiami syurga yang dijanjikan kepada mereka dahulu. Lihat ! , para penghuni syurga nanti akan mengucapkan “ ALHAMDULILLAH “ sebagai berterima-kasih dan bersyukur di atas ganjaran yang Allah Ta’ala berikan kepada mereka dan disebabkan Allah Ta’ala telah mengutuskan kepada mereka wahyu dan panduan melalui Para Rasul a.s .

Kita juga wajib mengucapkan syukur kepada Allah Ta’ala di atas ni'mat sampainya Islam kepada kita dan masih ramai lagi para ulama’ rh , kerana tanpa Islam dan bimbingan para ulama’ rh , tidaklah kita layak masuk ke dalam syurga Allah Ta’ala kelak .

Lihat lagi firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Kahf , ayat pertama :

Ertinya : “ Segala puja-puji hanyalah untuk Allah (Tuhan ) yang telah menurunkan kepada hamba-Nya kitab dan tidak pula Allah ciptakan baginya ada sebarang kebengkokan ( pertentangan dan perselisihan di antara satu ayat dengan ayat yang lain ) “ .

Kita juga wajib bersyukur kepada Allah Ta’ala di atas ni'mat adanya kitab Al-Quranul Karim sebagai panduan hidup kita , yang mana tanpanya , pastilah kita tidak akan menemui kebenaran dan kejayaan di dunia dan di akhirat .

Selain itu ianya diucapkan apabila kita dipuji , contohnya apabila orang memuji kita lantaran kejayaan kita , lalu kita pun menjawab : “ Alhamdulillah , saya berjaya “ ( Diucapkan ucapan “ Alhamdulillah “ agar kita tidak lupa bahawa sehebat mana pun usaha kita , ianya tentu tidak akan berjaya jika tidak diizinkan oleh Allah Ta’ala ) .

Ucapan “ ALHAMDULILLAH “ ini juga dikenali sebagai “ TAHMID “ .


3 – Ucapan “ ALLAHU AKBAR “

Ertinya : “ Allah Maha Besar “ .

Ianya diucapkan di dalam beberapa situasi :

1 – Apabila berada di tempat yang tinggi .
2 – Apabila berada di dalam ketakutan .
3 – Sebagai teriakan untuk menakutkan dan menggerunkan musuh-musuh Allah Ta’ala .
4 – Sebagai “ pembakar semangat “ para pejuang Islam .
5 – Ketika azan , takbiratul ihram dan takbir hari raya .

Ucapan ini dikenali juga sebagai “ TAKBIR “ .


4 – Ucapan “ LA ILAHA ILLALLAH “

Ertinya : “ Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak diibadati melainkan Allah “ .

Masyarakat Arab biasanya menyebut kalimah ini apabila melihat sesuatu yang menggerunkan ataupun peristiwa yang mengerikan .

Kalimah ini adalah inti-pati dan dasar ajaran Islam . Silalah melihat kitab-kitab zikir dan wirid yang sahih ( seperti RIYADHUS SOLIHIN oleh Al-Imam an-Nawawi rh ataupun KALIMUT TOIYIB oleh Al-Imam Ibnu Taimiyah rh ) untuk mengetahui fadhilat-fadhilat kalimah Tauhid ini.

Ia dikenali juga dengan gelaran “ TAHLIL “ .


5 – Ucapan “ BISMILLAH “

Ertinya : “ Dengan Nama Allah “

Ucapan ini dikenali sebagai “ BASMALAH “

Dilakukan sebagai menunjukkan adab di antara seseorang hamba dengan Allah Ta’ala ketika melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya .

Ertinya di sini ialah : “ Bismillah “ digunakan untuk melakukan perkara-perkara yang diredhai oleh Allah Ta’ala sahaja . Seolah-olah tatkala kita membacanya kita turut sama beriktiqad : “ Aku menyebut nama Allah ini supaya kerja yang aku lakukan ini dirahmati dan diberkati oleh-Nya “ .

Adapun jika digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang , maka ia adalah haram bahkan kadang-kadang boleh membawa kepada murtad kerana dianggap menghina kesucian ataupun mempersendakan Allah Ta’ala . Contohnya :

A – Membaca “ Bismillah “ untuk menyembelih binatang-bintang yang tidak disembelih untuk tujuan yang dibenarkan ( seperti untuk mandi safar , untuk “membuka gelanggang silat “ , untuk “ menyemah “ rumah, untuk “ menjamu “ penunggu dan jin dan sebagainya .

B – Membaca “ Bismillah “ untuk melakukan jampi-jampian yang dilarang oleh agama kita .

C – Membaca “ Bismillah “ untuk “ tikam “ nombor ekor , toto dan lumba kuda serta sebarang perjudian .

D – Membaca “ Bismillah “ ( supaya selamat konon-kononnya ) untuk mengintai orang mandi .

E – Membaca “ Bismillah “ untuk makan dan minum apa-apa yang haram .

F – Membaca “ Bismillah “ kuat-kuat ( agar didengar oleh orang ramai ) ketika membuka warong demi melariskan jualan .


6 – Ucapan “ MA SYAALLAH “

Ertinya : “ Apa yang Allah Kehendaki “

Diucapkan ketika melihat apa-apa yang baik dan indah .

Diucapkan juga ketika melihat perkara-perkara yang luar biasa dan hebat ( sama seperti Tasbih )

Tidak boleh digunakan sebagai ucapan tatkala melihat sesuatu yang dilarang , contohnya menyebut “ MA SYA ALLAH “ ketika melihat wanita-wanita yang berpakaian seksi sebab kalimah itu bermakna “ Apa-apa yang Allah kehendaki “ , sedangkan Allah Ta’ala tidak pernah sama-sekali menyuruh wanita-wanita berpakaian seksi di hadapan bukan suaminya . Dan begitu juga tidak boleh mengucapkan kalimah ini tatkala melihat
pelakon-pelakon yang seksi-seksi di TV .

Hati-Hati dan fahami baik-baik penggunakan kalimah dan ucapan ini !!! .

Ucapan ini diistilahkan sebagai : “ AL-MASYIAH “


7 – Ucapan “ A’UZUBILLAHI MINASY SYAITONIR RAJIM “

Ertinya : “ Aku memohon perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam ( terkutuk ) “ .

Diucapkan sebagai memohon perlindungan dan keselamatan kepada Allah Ta’ala daripada segala jenis gangguan , sama ada gangguan syaitan ataupun bala-bencana .

Diucapkan juga sebagai memulakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim .

Ucapan ini digelar sebagai “ AT-TA’AWWUDZ “ .


8 – Ucapan “ LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAH “

Ertinya : “ Tidak adalah daya-upaya dan kekuatan ( yang sebenar / yang terutama ) melainkan dengan izin ( pertolongan ) Allah “ .

Diucapkan apabila melihat perkara-perkara yang tidak disukai ataupun apabila kita tidak terdaya untuk melakukan sesuatu .

Dan diucapkan apabila kita merasai kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri kita seperti sedang berhadapan dengan jumlah musuh yang lebih ramai daripada pihak kita .

Ucapan ini dikenali sebagai “ AL-HAUQOLAH “ .


9 – Ucapan “ INSYA ALLAH “

Ertinya : “ Jika diizinkan Allah “

Diucapkan apabila kita berjanji untuk menyempurnakan hajat seseorang . Ataupun apabila hati kita berat 70 % untuk memenuhi janji itu maka bolehlah kita menyebut “ INSYA-ALLAH “ , tetapi jika kita memang tidak mahu memenuhi hajat itu ataupun hati kita memang berat 70 % untuk tidak memenuhinya , maka tidaklah wajar kita menggunakan kalimah ini . ~ [ Hasil temuramah di antara Al marhum S.S Dato’ Ishak Baharom , Bekas Mufti Selangor Darul Ehsan dengan salah sebuah majalah di Malaysia ].

Ucapan ini dikenali sebagai “ TAWAKKUL “ ( Tetapi masyarakat Melayu memanggilnya sebagai tawakkal )


10– Ucapan “ BARAKKALLAHU FIK “

Ertinya : “ Semoga Allah memberkati engkau “ .

Diucapkan kepada seseorang yang kita cintai ataupun sebagai doa baginya .

Menurut sunnah ucapan yang seumpama ini diucapkan juga kepada mereka yang baru berkahwin .

Ucapan ini dikenali sebagai “ AT-TABARRUK “ .


11 – Ucapan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN “

Ertinya : “ Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan “

Ucapan ini sebagai tanda terima kasih kita pada seseorang .

Boleh juga diucapkan dengan “ JAZAKALLAHU KHAIRAN KATSIRAN “ ( Semoga Allah membalas jasa-baikmu itu dengan kebaikan yang banyak “ .

Boleh juga diucapkan dengan “ JAZAKALLAHU KHAIRAL JAZAK “ ( Semoga Allah membalas jasa-baikmu dengan balasan yang paling baik ) .

Adalah SALAH dan TIDAK BETUL jika sekadar mengucapkan “ JAZAKALLAHU “ ( Semoga Allah membalasmu…) Membalas dengan apa ??? . Ayat ini jadi ayat tergantung ! .

Apabila kita diucapkan sedemikian rupa , maka respon kita pula ialah : “ JAZANA WA IYYAK “ . Erti respon itu ialah : “ Semoga Allah juga membalas ( kebaikan yang kau ucapkan tadi ) kepada kita semua dan juga kepada dirimu “ .

Ianya dikenali sebagai kalimah “ ASY-SYUKR “


12 – Ucapan “ INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN “

Ertinya : “Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “.

- Diucapkan apabila ditimpa sesuatu yang tidak dikehendaki seperti banjir , kemalangan , kecurian dan seumpamanya . ( Walhal orang-orang kita hanya mengucapkannya tatkala mendengar berita kematian seseorang ) .

Firman Allah mengenai ucapan ini : Ertinya : “ Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata : Sesungguhnya kita ini semuanya adalah milik Allah dan kepadanya nanti kita akan kembali “~ Surah al-Baqarah , ayat 155 .

Ucapan ini dikenali sebagai “ LIL ISTIRJAA’ / TARJIE’“


13 – Ucapan “ HASBUNALLAHU WA NI’MAL WAKIL “

Ertinya : “ Cukuplah bagi kami ini Allah itu sebagai sebaik-baik pelindung / penolong “ .

Diucapkan sebagai tanda kita ini berserah diri dan bergantung harap ( bertawakkal ) kepada Allah Ta’ala semata-mata . Dan ia juga merupakan ucapan “ pembakar “ semangat keberanian orang-orang yang beriman . Contohnya diucapkan tatkala menghadapi serangan musuh.

Firman Allah Ta’ala yang mengisahkan keimanan para sahabat r.a menjelang Perang Badar : Ertinya : Orang-orang yang mentaati Allah dan Rasul itu apabila dikatakan kepada mereka : "Sesungguhnya manusia ( musyrikin Quraisy ) telah mengumpulkan
pasukan untuk menyerang kamu, karena itu takutlah kepada mereka", maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung “ . ~ Surah Ali ‘Imran , ayat 173 .

Ucapan ini dikenali sebagai “ AL-HASBANA “.

Sumber : Dunia Macam-Macam FB

No comments: