Sembahyang
Yang biasa: Ramai dari kita yang sembahyang apabila telah
masuk waktu. Yang kerap berlaku juga, sembahyang kita di akhir waktu. Mungkin
pepatah orang putih “Better late than never” menjadi pegangan kita. Inilah
golongan yang hanya tahu dirinya hamba tapi tak rasa hamba.
Luar biasa: Orang yang selalu menunggu-nunggu waktu untuk
sembahyang. Seperti seorang yang sangat merindukan pertemuan dengan kekasihnya.
15 minit sebelum azan, dia dah duduk di tikar sembahyang.
Kalau begitu, sahihlah dia orang luar biasa.
Sedekah
Yang biasa: Kalau kita sedekah, kita mahu seluruh dunia
tahu. Kalau tak panggil press, sekurang-kurangnya kita bercerita pada orang.
Kita mahu orang tahu kita pemurah. Agaknya kita memang tak nak pahala sebab
hanya sedekah yang ikhlas akan dibalas oleh Tuhan.
Luar biasa: Apabila bersedekah, kita lebih suka melakukan
secara sembunyi. Ibarat kata, tangan kanan sedekah, tangan kiri pun tak tahu.
Yang penting bagi kita ialah membantu meringankan kesusahan orang. Itu pun kita
bimbang juga kalau-kalau dalam hati ada rasa riyak atau taksub dengan diri
sendiri. Sedangkan kita berharap dengan banyak bersedekah akan turun rahmat
serta keampunan Tuhan.
Berjaga malam
Yang biasa: Kita biasa berjaga malam. Sama ada untuk tengok
bola sepak piala dunia, atau melayan VCD terbaru. Yang lebih teruk, kalau malam
dihidupkan dengan berhibur di pusat-pusat hiburan.
Luar biasa: Malam kita dihidupkan dengan pelbagai ibadah dan
amalan. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kita meninggalkan tilam empuk
untuk bertahajud dan muhasabahkan diri. Bagi kita, kesepian malam adalah saat
paling sesuai untuk kita merayu kasih sayang Tuhan, Pencipta kita. Memohon
keampunan, rahmat dan nikmat dariNya. Ini malam para nabi dan para wali. Kalau
kita konsisten beribadah malam, memang kita ikut tradisi orang-orang yang luar
biasa.
Kerja
Yang biasa: Kita cukup berbangga bila berjaya di dalam
sebarang kerja. Sama ada dalam kerjaya, pelajaran mahupun bila dapat buat
banyak amal ibadah. Kita rasa, kalau tak kerana otak kita yang genius, atau
kerja kuat kita, tentu kita gagal. Sebab itu kita mudah pandang rendah pada
orang yang kurang upaya atau kurang berjaya. Walaupun kita ucapkan
alhamdulillah, tapi di hati kecil kita tak rasa apa yang berlaku, Tuhan punya
kuasa.
Luar biasa: Bila kita dapat rasakan segala yang kita miliki
adalah dari Tuhan. Kita sangat yakin bahawa kekayaan, pangkat dan kelulusan
tidak akan kita nikmati kalau tidak dengan izin Tuhan. Makin banyak nikmat yang
kita dapat, makin tinggi rasa kehambaan. Bimbang dan cemas kalau-kalau kita
tidak mampu berterima kasih kepada Tuhan sehingga tersilap menggunakan nikmat
dariNya. Makin banyak ibadah pula, makin takut dengan Tuhan . Luar biasalah
jika manusia dapat merasakan dirinya hanya hamba Allah yang tidak memiliki
apa-apa.
Renungan:
Semoga diriku dan semua pembaca mengambil iktibar dan
berusaha menjadi orang yang “Luar Biasa” kepada Allah SWT… Semoga Allah SWT
akan sentiasa merahmati kita dalam setiap perubahan kita keranaNya… InsyaAllah…
Aminnn….
Sumber : https://www.facebook.com/harlina399
No comments:
Post a Comment