NEW YORK – Seorang profesor audiologi mengenal pasti lebih
30 orang hilang pendengaran selepas dicium di telinga dan jumlah itu
berkemungkinan lebih ramai.
Penyelidik dari Universiti Hofstra di Hemstead, New York, Dr
Levi Reiter berkata seorang wanita menemuinya kerana kehilangan pendengaran
selepas anaknya berusia lima tahun menciumnya di telinga, lapor MSNBC.com yang
dipetik akhbar Korean Herald. Reiter berkata beliau menyangkakan pada ketika
itu kes wanita itu sangat unik tetapi kemudian beliau mendapati kes yang sama
pernah berlaku sekitar 1950 an.
Selepas akhbar Long Island melaporkan penemuannya, beliau
turut menerima maklum balas daripada orang ramai yang mengalami masalah
sama.Reiter berkata sedutan kuat pada gegendang daripada ciuman menarik
rantaian tiga tulang kecil dalam telinga yang mengakibatkan gegaran di dalam
cecair koklea atau di dalam telinga.
Beliau berkata mungkin lebih banyak kes kehilangan
pendengaran seumpama ini terjadi kepada bayi dan kanak-kanak bagaimanapun ibu
bapa mungkin tidak mengaitkannya dengan ciuman.Kehilangan pendengaran sehala
disebabkan hembusan ke telinga, bunyi bising seperti letupan bunga api di atas
kepala atau penggunaan putik kapas yang ditolak terlalu dalam, kata Reiter.
Beliau turut bercadang untuk menghantar penemuan berkenaan
kepada Jurnal Audiologi Antarabangsa dan Jurnal Otorhinolaringologi Kanak-kanak
Antarabangsa. – Agensi.
No comments:
Post a Comment