Biasanya ibu mendapat demam apabila dia dijangkiti oleh
sebarang patogen seperti virus, kuman, ataupun parasit. Namun, jangkitan yang
paling biasa dihadapi adalah jangkitan virus dan menyebabkan ibu menghidapi
demam selesema ataupun ‘flu’. Seringkali ibu yang menyusu tertanya – tanya
samada bolehkah dia terus menyusu apabila dia demam? Adakah susunya turut
dijangkiti oleh virus itu dan meresap ke dalam bayi melalui susu ibu itu? Jika
dia mengambil sebarang ubat demam, adakah ubat itu akan masuk ke dalam susu ibu
dan bolehkah dia meneruskan penyusuannya ketika ubat itu diambil? Dan yang
paling penting, PERLUKAH IBU MEMBERHENTIKAN PENYUSUAN ITU? Persoalan demi
persoalan ini menyebabkan ada sesetengah ibu yang memberhentikan terus
penyusuannya kerana dia risau akan kesihatan bayi yang disusuinya.
Sebenarnya, apabila ibu itu demam, secara automatik badannya
akan mula menghasilkan antibodi – antibodi untuk melawan virus yang
menjangkitinya. Paras antibodi di dalam badan ibu akan meningkat secara
mendadak dan sebahagian daripada antibodi itu akan turut berkumpul di dalam
susu ibu. Ini kerana saiz antibodi yang tersangat kecil membolehkan ia meresap
ke dalam susu ibu. Seterusnya antibodi dari ibu itu akan turut diterima oleh
bayi apabila dia menyusu. Dengan ini, bayi tersebut turut mendapat perlindungan
dari virus yang menjangkiti ibunya melalui antibodi yang dihasilkan oleh ibunya
sendiri. Tambahan pula, saiz virus yang besar tidak memungkinkan ia untuk
meresap ke dalam susu ibu dan virus itu tidak dapat menjangkiti bayi jika bayi
itu mengambil susu ibu. Dengan itu, kita lebih menggalakkan seseorang ibu yang
mengalami demam untuk terus menyusukan bayinya.
Sebaliknya, bagi bayi yang tidak menyusu susu ibu, dia lebih
berisiko untuk mendapat jangkitan yang sama kerana susu lain tidak mengandungi
sebarang antibodi untuk melindungi bayi tersebut. Bayi yang masih kecil dan
lemah itu masih tidak mampu untuk menghasilkan antibodi mereka sendiri kerana
sistem imun mereka yang belum matang. Penyusuan susu ibu ketika ibu demam dapat
membantu bayi untuk meningkatkan sistem imunitinya secara tidak langsung.
Satu faktor penting yang perlu diambil perhatian adalah
untuk ibu menjaga kebersihan dirinya ketika dia demam. Ibu perlulah menutupi
mulut dengan tuala atau tisu yang bersih ketika batuk ataupun bersin. Seeloknya
ibu hendaklah membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun pada setiap kali
dia menguruskan bayinya seperti ketika menukar lampin, memberi susu dan juga
menidurkan bayi. Ini penting untuk mengurangkan risiko transmisi secara terus
virus tersebut dari ibu ke bayi.
Sesungguhnya, jika ibu demam, bayi yang menyusu susu ibu
adalah lebih selamat berbanding dengan bayi yang tidak menyusu susu ibu.
Buat ibu-ibu di luar rajin-rajinkanlah menggali ilmu
penyusuan, kurang ilmu akan buatkan kita gagal untuk menyusu.
kredit: blog Hazimah
No comments:
Post a Comment