Selepas melalui pembedahan caesarean di kelahiran pertama,
anda boleh berusaha untuk bersalin secara normal pula di kelahiran akan datang.
Impian melahirkan bayi yang dikandung secara normal selepas
pernah menjalani pembedahan caesarean sememangnya menjadi matlamat kebanyakan
para wanita hamil. Sudah menjadi fitrah buat seseorang wanita itu untuk cuba
melahirkan anaknya menerusi faraj tanpa perlu melalui pembedahan yang sarat
dengan pelbagai risiko yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun
bayi yang dikandung.
Yakinilah bahawa usaha anda untuk mencuba kelahiran normal
selepas caesarean atau lebih dikenali sebagai VBAC adalah lebih selamat dan
kurang berisiko berbanding pembedahan caesarean untuk sekian kalinya.
Malah, pada masa kini kebanyakan doktor mengesyorkan
kelahiran normal selepas pembedahan caesarean sekiranya beberapa aspek penting
tertentu dipenuhi terlebih dahulu. Oleh yang demikian, jika anda bercadang
untuk berusaha ke arah VBAC, dapatkan pandangan daripada doktor pakar yang
memeriksa kehamilan anda sebelum mengambil sebarang keputusan.
Lazimnya, masih selamat untuk anda menjalani VBAC jika
pernah menjalani satu pembedahan caesarean sebelum ini.
Walau bagaimanapun, VBAC tidak sama sekali disyorkan kepada
anda yang pernah menjalani dua atau lebih pembedahan caesarean. VBAC boleh
dicuba sekiranya :
1. Anda hanya ada satu parut yang rendah dari sisi ke sisi
daripada pembedahan caesarean terdahulu.
2. Punca pembedahan terdahulu tidak berlaku dalam kehamilan
terkini, Contohnya seperti bayi besar, tekanan darah tinggi dan diabetes.
3. Tiada sebab untuk anda menjalani kelahiran secara
caesarean sepanjang kehamilan kali ini seperti komplikasi placenta praevia (uri
bawah).
4. Pembedahan caesarean terdahulu bukan pembedahan klasikal.
5. Pelvis bersaiz normal.
Risiko
Untuk pengetahuan anda, wanita yang cuba untuk VBAC selepas
pernah menjalani caesarean berkemungkinan kecil akan mendapati parut pada
rahimnya terbuka semasa mengalami sakit kontraksi kelahiran. Komplikasi yang
dikenali sebagai pecah rahim ini boleh membahayakan nyawa anda dan bayi dalam
kandungan juga.
Namun begitu, risiko untuk rahim pecah dengan VBAC kehamilan
tunggal (kajian tidak menunjukkan keputusan untuk kehamilan berganda) adalah
hanya di antara satu hingga dua peratus. Hal ini kerana risiko untuk parut
terbuka dan seterusnya menyebabkan rahim pecah adalah sangat rendah semasa VBAC
sekiranya anda hanya ada satu parut yang rendah. Pada masa yang sama proses
kelahiran tidak dimulakan dengan penggunaan ubat pencetus kontraksi.
Risiko sebegini lebih kerap terjadi pada pembedahan klasikal
di mana hirisan rahim dibuat secara menegak dan bukannya melintang seperti yang
kerap dilakukan oleh doktor pada zaman sekarang. Ketahuilah, rahim pecah sangat
jarang berlaku kerana hirisan secara menegak tidak lagi diamalkan.
Biar apa pun risikonya, VBAC hanya boleh dijalankan oleh
hospital yang mampu menjalankan pembedahan caesarean secara kecemasan. Untuk
makluman, jika anda telah mencuba untuk VBAC tetapi malangnya masih memerlukan
pembedahan caesarean, risiko menghadapi jangkitan adalah lebih tinggi
berbanding daripada terus menjalani caesarean.
Kebaikan VBAC
Sesungguhnya terdapat banyak kelebihannya jika anda memilih
bersalin secara normal.
1. Jalin Ikatan Dengan Bayi
Anda berupaya untuk menjalinkan hubungan dengan bayi baru
lahir lebih awal. Ini dapat dilakukan apabila anda boleh terus memegang bayi
selepas melahirkannya berbanding pembedahan caesarean. Anda juga boleh mula
menyusukan bayi dengan susu ibu sejurus selepas kelahiran. Menyusukan bayi
selepas melahirkannya secara normal lebih senang kerana anda tidak perlu
menanggung kesakitan di bahagian jahitan pembedahan.
2. Lebih Selamat
VBAC akan mengurangkan kemungkinan anda mendapat jangkitan
dan kehilangan darah yang serius atau mengalami komplikasi yang berkaitan
dengan risiko pembedahan.
3. Pemulihan Yang Cepat
Jangka masa untuk anda tinggal di hospital adalah lebih
singkat selepas VBAC. Tempoh yang lebih pendek di hospital membolehkan anda
menghabiskan lebih banyak masa menjalani rutin penyembuhan di rumah. Dalam pada
masa yang sama juga, anda mampu untuk mengembalikan tenaga dan stamina dengan
lebih cepat disebabkan kurangnya kesakitan yang dialami selepas melahirkan.
4. Kurang Komplikasi
Dengan VBAC, anda dapat mencegah daripada berlakunya
komplikasi tumpah darah yang banyak, darah beku di kaki, jangkitan kuman pada
usus dan pundi kencing.
5. Elakkan Pertambahan Parut
Pertambahan parut pada bahagian rahim kesan daripada
pembedahan caesarean dapat dihindari dengan VBAC. Aspek ini sangat penting bagi
membolehkan anda merancang untuk menambah bilangan anak. Hal ini kerana semakin
banyak parut pada rahim, semakin tinggi risiko untuk bersalin di kelahiran
seterusnya.
6. Bayi Turut Mendapat Manfaat
Kelebihannya dapat dirasai oleh bayi apabila dia kurang
risiko untuk dilahirkan secara pramatang, kurang masalah pernafasan selepas
lahir dan paling penting kurang berisiko untuk menghadapi kematian.
7. Kurang Mahal
Prosedur VBAC adalah lebih murah berbanding pembedahan caesarean
yang terancang. Hal ini kerana kosnya jauh lebih murah.
Sumber : PaMa.karangkraf
No comments:
Post a Comment